Rabu, 18 September 2019

Bagaimana Emas Membantu Memenuhi Impian Anda (Memiliki Rumah)

Bagaimana Emas Membantu Memenuhi Impian Anda (Memiliki Rumah)

Artikel kali ini saya kongsikan 6 langkah mudah yang perlu diambil bagi mencapai impian memiliki kediaman sendiri dan bagaimana Emas membantu anda mencapai impian tersebut.


Langkah 1# Tentukan Matlamat Membeli Kediaman

Pekara pertama yang perlu dilakukan adalah mengetahui dengan jelas kenapa anda ingin membeli rumah sendiri. Terdapat dua sebab utama membeli rumah iaitu bagi tujuan:

1.1) Duduk Sendiri

Ia bermaksud kediaman yang dibeli adalah untuk kegunaan diri sendiri atau bersama keluarga (ingin menetap di rumah tersebut).

1.2) Pelaburan

Ia bermaksud kediaman yang dibeli adalah untuk tujuan menjana keuntungan dengan cara menyewakan rumah tersebut kepada orang lain atau untuk dijadikan sebagai barang dagangan untuk dijual dikemudian hari dengan harga yang jauh lebih tinggi daipada kos asal (aktiviti jual beli).

Kenapa pekara ini penting? Kerana mengetahui dengan jelas tujuan membeli rumah dapat mengelak dari terbeli kediaman yang salah. Bukan semua kediaman sesuai untuk diduduki apatah lagi untuk tujuan pelaburan.


Langkah 2# Tentukan Jenis Kediaman Yang Ingin Dibeli

Setelah mengetahui dengan jelas tujuan membeli rumah, langkah kedua adalah menentukan jenis kediaman yang ingin dibeli. Terdapat dua jenis kediaman yang sedia ada iaitu:

2.1) Di Atas Tanah


Kediaman yang dibina di atas tanah secara persendirian. Contohnya seperti rumah Kampung, Teres, Semi-D, Banglo, Istana dan sebagainya. Kediaman jenis ini dibina diatas tanah tanpa berkongsi dengan rumah lain. 

Sumber: www.propertyguru.com.my
2.2) Di Atas Langit

Kediaman yang dibina di atas tanah secara perkongsian dengan kediaman lain. Contohnya seperti Flat, Apartment, Kondominium, Town House, Studio dan sebagainya. Kediaman ini biasanya di bina bertingkat (Dalam satu bangunan). Hanya kediaman di tingkat bawah sahaja dibina di atas tanah, yang lain dibina di atas kediaman lain. Kediaman jenis ini biasanya boleh dilihat di bandar atas sebab tanah yang ada amat terhad dan mahal.  

Sumber: https://www.iproperty.com.my/

Langkah 3# Tentukan Lokasi Kediaman Yang Ingin Dibeli

Lokasi memainkan peranan yang penting semasa ingin membeli rumah terutama bagi seorang Pelabur Hartanah. Ia merangkumi dimana lokasi rumah tersebut terletak, persekitarannya, kemudahan yang ada dan sebagainya.

Pelabur Hartanah perlu memastikan lokasi yang dipilih bersesuaian supaya mudah mendapat penyewa atau mudah dijual kembali dikemudian hari.

Manakala bagi pembeli rumah yang ingin diduduki sendiri, digalakkan agar membeli rumah berdekatan dengan tempat kerja bagi menjimatkan kos pengangkutan dan masa perjalanan pergi dan balik kerja.

Sumber: http://cireboninternet.com/

Langkah 4# Tentukan Status Kediaman Yang Ingin Dibeli

Mengetahui status kediaman yang ingin dibeli juga memainkan peranan yang penting. Terdapat dua jenis status kediaman yang boleh didapati iaitu:

4.1) Rumah Belum Siap (Under Construction)

Ia bererti rumah tersebut belum lagi dibina atau dalam proses pembinaan oleh pemaju. Bakal pembeli hanya dapat melawat rumah contoh yang disediakan oleh pemaju semasa memilih kediaman yang ingin dibeli.

Kelebihan membeli kediaman jenis ini adalah harganya jauh lagi murah berbanding selepas rumah tersebut siap. Kelemahannya pula, risiko rumah tak siap (terbengkalai) atau rumah tersebut siap tetapi banyak masalah timbul adalah amat tinggi. Oleh itu, penting bagi kita menyemak status pemaju terlebih dahulu sebelum membuat keputusan membeli dari mereka.

Sumber: https://albahanjiey2.wordpress.com/2009/05/29/rumah-dalam-pembinaan/

4.2) Rumah Telah Siap (Sublet)

Ia bererti rumah tersebut telah pun siap dibina oleh pemaju. Bakal pembeli hanya perlu memilih rumah yang diingini selepas membuat lawatan tapak.

Kelebihan membeli kediaman ini adalah risiko rumah itu tidak siap (terbengkalai) tiada kerana rumah tersebut telah tersedia untuk dibeli. Kelemahannya pula, kebiasaannya harga rumah siap jauh lebih mahal berbanding dengan rumah dalam pembinaan.

Terdapat dua kategori rumah (sublet) yang boleh dipilih iaitu:

2.1) Kediaman Baru

Ia bererti kita adalah pemilik pertama rumah tersebut. Dengan kata lain, rumah tersebut dibeli terus dari pemaju.

2.2) Kediaman Lama

Ia bererti rumah tersebut telah dimiliki sekurang-kurangnya seorang pemilik. Dengan kata lain, rumah tersebut dibeli daripada orang lain (pemilik sebelumnya).

Maklumat Tambahan:
Pastikan anda mengetahui status pemilikan rumah (Hak Milik Kekal atau Pajakan) yang ingin dibeli dengan jelas bagi mengelak masalah dikemudian hari.


Langkah 5# Ketahui Kelayakan Pembiayaan Bank

Sekadar menentukan matlamat, jenis dan status kediaman yang ingin dimiliki sahaja tidak bermakna sekiranya anda tidak layak mendapat pembiayaan dari bank (Kecuali anda mampu membeli secara tunai). Oleh itu ketahui had kelayakan pembiayaan perumahan yang mampu diperolehi sebelum memulakan pencarian rumah idaman.

Berikut adalah dokumen sokongan yang diperlukan untuk memohon pembiayaan rumah.

1. Salinan Kad Pengenalan
2. Pendapatan Gaji (3 Bulan)
3. Penyata Bank (3 Bulan)
4. Penyata KWSP/ Borang EA
5. Akaun Simpanan Bank/ Akaun Simpanan (Termasuk akaun GAP @ SAP), ASB, TH, UT, AHB, FD, Stocks Investment dan lain-lain.

Anda boleh kunjungi beberapa bank bagi mendapatkan tawaran yang terbaik merangkumi jumlah maksimum pembiayaan, bunga (interest), tempoh masa pembayaran dan sebagainya.

Langkah 6# Sediakan Wang Pendahuluan (Downpaymet)

Setelah semua langkah di atas selesai dilaksanakan, tiba masa untuk sediakan wang pendahuluan (downpayment) untuk tempahan. Kebiasaannya bagi rumah pertama dan kedua, pihak bank hanya memberi pembiayaan maksimum sebanyak 90% sahaja. Bagi pembelian rumah ketiga dan seterusnya, pihak bank hanya memberi pembiayaan maksimum sebanyak 70% sahaja.

Hanya dalam keadaan tertentu sahaja pihak bank memberi pembiayaan penuh seperti pembiayaan rumah bagi kakitangan kerajaan. Selebihnya perlu disediakan sendiri. Ini bererti anda perlu menyediakan wang pendahuluan sekurang-kurangnya 15% dari harga rumah yang ingin dibeli. Ini termasuk kos sampingan seperti guaman dan sebagainya.

Di sini EMAS memainkan peranan membantu anda dalam proses menyediakan wang pendahuluan (menyimpan) dengan hanya menukar wang yang sedia ada dalam bentuk emas yang terjamin nilainya sepanjang zaman. Persoalannya sekarang, berapa banyak gram yang perlu disimpan? Untuk menjawab soalan tersebut, saya sertakan contoh seperti dibawah:

Nama               : Ali (Bukan Nama Sebenar)
Matlamat         : Untuk Pelaburan (Pelaburan Hartanah)
Jenis                : Rumah Flat
Lokasi             : Kota Damansara
Harga Jualan   : RM 160,000

Mengikut maklumat di atas, Ali memerlukan sekurang-kurangnya RM 16,000 (10 %) sebagai wang pendahuluan dan RM 8,000 (5 %) kos lain-lain termasuk guaman. Ini bermaksud Ali perlu menyimpan emas sekurang-kurangnya 112 gram (harga segram RM 215 pada 7 Sept 2019) bagi menyediakan duit deposit membeli rumah.

Begitulah sedikit sebanyak perkongsian pada kali ini. Bagi memudahkan urusan, digalakkan melantik ejen hartanah yang berdaftar bagi memudahkan urusan beli kediaman (dapat menjimatkan masa dan tenaga).

Bagi bakal pelabur hartanah, digalakkan supaya mempelajari terlebih dahulu ilmu tentang hartanah sebelum melibatkan diri dalam bidang ini. Kerana bukan semua orang sesuai menceburi pelaburan ini kerana ia melibatkan sejumlah wang yang banyak (kos pemilikan) serta urusannya amat rumit (melibatkan banyak pekara). Ia bukan pelaburan yang sesuai bagi orang yang ingin mendapat wang segera terutama ketika dalam kecemasan. Ia adalah pelaburan untuk jangka masa yang panjang.  

Semoga impian anda memiliki sebuah rumah tercapai suatu hari nanti.

Penafian: Maklumat yang dikongsi pada artikel ini hanya sebagai panduan asas sahaja. Anda digalakkan mempelajari secara lebih lanjut sebelum membuat keputusan membeli rumah sebagai pelaburan atau untuk kegunaan sendiri.


Kembali Ke Artikel Terdahulu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan