Rabu, 10 Februari 2021

Kenal Pasti Skim Cepat Kaya Bertopeng Emas

Kenalpasti Skim Cepat Kaya Bertopeng Emas

Salah satu risiko dalam pelaburan emas adalah ditipu ketika membeli emas, sama ada terbeli emas palsu atau menyertai skim cepat kaya yang bertopengkan emas. Bertopengkan emas bermaksud menggunakan emas sebagai alat untuk menarik pelabur menyertai pakej yang ditawarkan.
 
Berikut saya kongsikan ciri-ciri umum untuk mengenalpasti sama ada skim pelaburan emas tersebut adalah skim cepat kaya atau pun tidak.
 
 
Ciri 1: Keuntungan Tidak Masuk Akal
 
Keuntungan tinggi yang dijanjikan kepada para pelabur emas yang menyertai pakej yang ditawarkan tanpa risiko atau keuntungan dijamin sepenuhnya. Ada skim menawarkan pulangan dalam bentuk dividen sehingga 10 peratus sebulan dalam tempoh 9 bulan. 
 
Padahal keuntungan dari pelaburan emas hanya dapat dinikmati dengan peningkatkan harga emas itu sahaja (keuntungan modal). Emas tiada dividen. Oleh itu, apa-apa pakej yang menjanjikan dividen dari pembelian emas hanya satu penipuan sahaja.
 
Emas juga tidak boleh berkembang dengan sendirinya seperti beli 1 gram emas, boleh dapat 5 gram emas selepas 90 hari. Hanya beli emas secara konsisten sahaja dapat meningkatkan bilangan gram dalam simpanan.

 
Ciri 2: Terma Dan Syarat Sentiasa Berubah-Ubah
 
Terma dan syarat untuk menyertai skim pelaburan emas tersebut sentiasa berubah mengikut keadaan semasa. Terdapat juga terma dan syarat yang berat sebelah, lebih memihak pihak penganjur berbanding dengan pelabur itu sendiri.
 
Ada terma mensyaratkan pelaburan melabur dalam tempoh tertentu sebelum mendapatkan pulangan yang dijanjikan. Bila tempoh tersebut sampai, keuntungan yang dijanjikan tidak dapat, modal asal hangus.
 
 
Ciri 3: Produk Bukan Subjek Penting
 
Produk bukan subjek penting dalam skim pelaburan emas tersebut. Yang penting letak duit, dapat pendapatan setiap bulan. Tidak penting sama ada wujud ke tidak emas yang dibeli oleh pelabur tersebut. Keuntungan yang diperolehi tiada kaitan dengan pergerakan harga emas dan jumlah emas yang dimiliki. 
 
Ciri 4: Punca Keuntungan Agak Kabur
 
Boleh dikatakan semua penganjur skim cepat kaya mengelak dari mendedahkan dari mana datangnya keuntungan lumayan yang dijanjikan itu. Kalau pun ada jawapan sekali pun, pasti jawapannya amat kabur dan sukar difahami. Pelbagai istilah pelik akan wujud untuk mewajarkan segala tindakan yang diambil oleh penganjur.
 
Pelaburan yang sebenar adalah pelaburan yang diketahui dari mana sumber keuntungan diperolehi. Apa strategiknya, memiliki laporan pelaburan yang telah diaudit dan sebagainya.
 
 
Ciri 5: Kaedah Pemasaran Terlalu Meragukan
 
Kebiasaannya kaedah pemasaran yang digunakan dalam menarik orang ramai menyertai skim pelaburan dengan cara menunjukkan kekayaan seperti kereta mewah, duit yang melambak-lambak, gaya hidup yang serba mewah dan sebagainya.
 
Kekayaan yang dipamerkan hanyalah sebagai umpan untuk menarik orang ramai untuk melabur selain dari emas itu sendiri.
 
 
Mudahkan hendak kenalpasti ciri-ciri skim cepat kaya terutama yang bertopeng emas. Hanya peralatkan emas untuk menarik orang ramai melabur. Tetapi emas yang dijanjikan tidak kunjung tiba.
 
Tetapi kenapa ramai orang masih boleh tertipu dengan skim cepat kaya walaupun model operasi lebih kurang sama sahaja? Sebab perasaan tamak yang ada menguasai diri ketika dijanjikan pulangan yang maha hebat.
 
Hanya ilmu sahaja boleh mencegah kita dari ditipu oleh sebarang jenis pelaburan yang ada tidak terhad kepada emas semata-mata.
 
 
“Apabila datang peluang yang menguntungkan dalam suatu pelaburan, kaji dan fahaminya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menyertainya.”
 
 
 
Yang menulis,
 
Mohd Faiz bin Abdul Manan
Dealer Public Gold


Tiada ulasan:

Catat Komen