Selasa, 18 Februari 2020

Tips & Panduan Keselamatan Ketika Mendaki (Bukit @ Gunung)

Kemaskini pada 22/02/2020

Tips & Panduan Keselamatan Ketika Mendaki (Bukit @ Gunung)


Entri kali ini saya ingin kongsikan tips dan panduan keselamatan (yang saya amalkan) semasa melakukan aktiviti pendakian secara solo ataupun secara berkumpulan.

Panduan ini khas untuk sesi pendakian secara harian sahaja (Day Pack Hiking). Kelengkapan yang dicadangkan hanya asas sahaja. Terpulang kepada anda untuk membawa apa yang dirasakan perlu.

Hanya lagi kurang barang yang perlu dibawa, lagi baik. Kita tidak mahu membawa banyak bebanan semasa mendaki. Nanti cepat letih.


Sebelum Mendaki

Tips 1: Persediaan

Pilih lokasi pendakian yang menjadi tumpuan umum. Tidak pasti dimana? Tekan SINI untuk melihat senarai bukit dan gunung yang telah saya jelajahi (mendaki).

Dapatkan maklumat asas lokasi yang ingin didaki. Aktiviti ini penting bagi membantu diri membuat persiapan rapi sebelum memulakan sesi pendakian. Bagi saya, cukup setakat mendapat gambaran secara kasar tentang lokasi yang ingin didaki.

Rancang perjalanan sebaiknya. Supaya kita tahu bila waktu terbaik untuk mendaki. Ingin lihat matahari terbit? Pastikan anda sampai ke puncak sebelum matahari naik.

Pastikan rehat @ tidur secukupnya sebelum memulakan aktiviti mendaki. Aktiviti mendaki ini meletihkan fizikal dan mental. Dengan berehat secukupnya sehari sebelum mendaki, ia dapat membantu kita mengharungi cabaran yang mendatang.

Pakai kasut khas (sekiranya boleh) untuk aktiviti pendakian. Terdapat kasut khas direka untuk aktiviti pendakian. Ini dapat menggelakkan kasut terkoyak ketika mendaki. Pemakaian jenis kasut yang betul dapat memberi keselesaan dan dapat mencegah kecederaan pada kaki. Jangan lupa pakai stoking sekali.

Tips 2: Kelengkapan            

Berikut adalah senarai kelengkapan yang saya guna khas untuk aktiviti mendaki.

1. Beg 10L (Bukit) @ 20L (Gunung)
2. Baju Hujan
3. Air Minuman (2x 500ml)
4. Powerbank 2000kw & Kabel
5. Tongkat @ Sarung Tangan
6. Makanan (Mengikut Kesesuaian)
7. Telefon Bimbit
8. Dompet
9. Topi (Melindungi kepala dari cuaca panas)
10. Kain Lap
11. Ubat-Ubatan (Makan & Sapuan)
12. Pakaian Yang Sesuai & Tahan Lasak

Ketika Mendaki

Mulakan aktiviti mendaki pada awal pagi. Mendaki seawal waktu pagi bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi ia memberi anda lebih masa berbanding mendaki pada waktu lain.

Mendaki dalam kumpulan. Paling kurang dua orang (termasuk diri sendiri). Sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini (kemalangan atau sesat). Sekurang-kurangnya kita ada teman untuk membantu dikala memerlukan.

Mendaki ketika cuaca cerah. Cuaca memainkan peranan yang penting semasa melakukan aktiviti mendaki. Seboleh-bolehnya kita ingin mengelak dari berada dalam hutan ketika hujan turun. Keadaan ini akan meningkatkan lagi risiko terutama apabila terpaksa menempuhi laluan yang licin dengan jarak permandangan yang terbatas. Tidak digalakkan mendaki selepas hujan kerana kita akan mudah tergelincir semasa menempuhi laluan yang licin.

Ikut laluan yang telah tersedia (laluan pendaki). Ini bagi mengelakkan diri dari tersesat ketika dalam perjalanan menuju ke puncak. Amat mahal harga yang perlu dibayar apabila tersesat dalam hutan. Selain itu, kita juga dapat mengelak dari mengambil risiko yang tidak perlu semasa mendaki. Matlamat kita untuk sampai dipuncak, bukan untuk menerokai laluan baru.

Sentiasa berhati-hati ketika mendaki. Malang tidak berbau. Oleh itu sentiasa berhati-hati sepanjang pendakian. Jangan biarkan aktiviti riadah menjadi kisah tragedi dalam hidup.

Ikut Kemampuan. Bergerak dalam kelajuan sendiri. Setiap orang berbeza keupayaan. Kalau letih, berehat sebentar. Jangan paksa diri. Kelak nanti ia boleh mencederakan diri sendiri. Kita ingin menikmati keseronokan mendaki. Oleh itu tidak perlu tergesa-gesa.

“80% Kemalangan Terjadi Saat Turun Dari Puncak”

Selepas Mendaki

Bersihkan diri dan kelengkapan yang dibawa. Kemudian berehatlah sepuas-puasnya sehingga pulih dari sakit badan. Kemudian sambung balik. Buat sampai puas, buat sampai jadi.

Bagaimana dengan anda? Ada tips pendakian yang ingin dikongsi? Sila kongsikan diruang komen dibawah.

Tiada ulasan:

Catat Komen