Khamis, 28 Disember 2017

7 Peringkat Dalam Pengurusan Kewangan (3. Simpanan)

Kemaskini pada 18/10/2018

7 Peringkat Dalam Pengurusan Kewangan (3. Simpanan)


Simpanan adalah proses pengasingan sebahagian kecil pendapatan bagi tujuan kecemasan atau untuk memenuhi impian yang memerlukan sumber kewangan yang besar. Menyimpan walaupun mudah dari segi prinsip tapi sukar untuk dilaksanakan bagi sebahagian besar orang. Oleh itu, amatlah penting bagi kita untuk mengetahui kaedah yang berkesan untuk memupuk tabiat menyimpan.

Terdapat 3 sebab utama kita menyimpan iaitu:
1. Dana Kecemasan (Insurans Kewangan)
2. Memenuhi Impian
3. Dana Persaraan (Kebebasan Kewangan)

Berikut adalah petua ringkas untuk membantu anda menjadikan tabiat menyimpan suatu kewajiban yang perlu dilakukan sepanjang masa.

  1. Mula simpan dari sekarang. Selagi tak mula selagi itu tak akan berjaya. Buang segala alasan untuk tidak mula menyimpan. Cari jalan untuk menyimpan sekali pun dengan cara terpaksa.
  2. Minta bantuan orang lain (yang boleh dipercayai) sekiranya masih tidak mampu lakukan sendiri.
  3. Untuk permulaan tidak penting berapa banyak wang yang boleh disimpan, yang penting bina tabiat menyimpan.
  4. Sementara bina tabiat menyimpan, buang sekali tabiat suka guna wang yang disimpan selain faktor kecemasan (setiap dana yang dibelanjakan perlu diganti semula). Menyimpan air dalam bekas yang bocor adalah suatu perbuatan yang sia-sia.
  5. Tetapkan matlamat dalam menyimpan sebagai motivasi untuk terus menyimpan.
  6. Mudahkan proses menyimpan, rumitkan proses pengeluaran. 
  7. Mengurangkan hutang membantu dalam meningkatkan simpanan.
“Kekayaan bukan dinilai berapa banyak pendapatan yang ada tetapi berapa banyak yang mampu disimpan”

Setiap orang memiliki matlamat yang berbeza dalam menyimpan Walaupun begitu, adalah penting bagi kita untuk memiliki simpanan sekurang-kurangnya 6 bulan gaji sebagai insurans kewangan. Ia sebagai persediaan untuk menghadapi bencana kewangan yang boleh melanda kita pada bila-bila masa sahaja.

“Matlamat pertama dalam menyimpan adalah dengan membina Dana Kecemasan sebagai insurans kewangan”

Langkah-Langkah yang perlu dicapai dalam menyimpan
  1. Simpan dan lupakan
  2. Lupuskan hutang jahat bagi meningkatan simpanan
  3. Simpan sekurang-kurangkan 6 bulan gaji bagi insuran kewangan.
  4. Laburkan simpanan ke instrument pelaburan yang berisiko rendah.
  5. Simpan sehingga cukup untuk memenuhi impian yang ada.
Disini saya kongsikan sedikit pengalaman membentuk tabiat menyimpan. Segalanya bermula apabila pertama kali saya menerima tabung berbentuk gajah dari BSN (akaun pertamaku). Setiap kali ada syiling ditangan saya, saya akan simpan dalam tabung. Keseronokan bermula bila tiba masa untuk mengira berapa banyak duit syiling yang ada dalam tabung.

Sehingga kini saya masih lagi mengamalkan tabiat menyimpan syiling. Makin banyak saya berbelanja, makin banyak saya simpan (terhad kepada syiling sahaja). Hanya sekarang menggunakan tabung yang diperolehi dari Tabung Haji.

Diharap agar artikel ini dapat membantu anda dalam membentuk tabiat menyimpan.