Khamis, 13 Disember 2018

Tips & Panduan Keselamatan Kembara Solo (Motosikal)

Tips & Panduan Keselamatan Kembara Solo (Motosikal)

Berikut saya kongsikan tips dan panduan yang saya amalkan semasa kembara solo bagi mengurangkan risiko yang perlu dihadapi semasa dalam perjalanan.

Penafian: Tips & panduan dalam artikel ini hanya berdasarkan apa yang saya amalkan, tidak semestinya yang terbaik. Sebarang masalah adalah dibawah tanggungjawab anda sendiri.

1.      Bersediaan Sebelum Bertolak

Tips 1: Pastikan Motosikal Dalam Prestasi Terbaik

Sebelum memulakan perjalanan, saya akan pastikan motosikal berada dalam keadaan terbaik. Saya akan pastikan:

(A)  Rantai Berada Dalam Keadaan Yang Baik Dan Ketat (Termasuk Soket)
(B)   Bunga Tayar Masih Belum Haus (Guna Tayar Tanpa Tiup)
(C)   Minyak Hitam Ditukar Mengikut jarak yang ditetapkan (Setiap 2000 km)
(D)  Lampu Motosikal Berfungsi (Tidak Mati)
(E)   Minyak Petrol Penuh

Tips 2: Pastikan Kelengkapan Yang Dibawa Mencukupi

Berikut adalah kelengkapan asas yang perlu ada dalam motosikal sebelum saya memulakan perjalanan:

(a)  Baju Hujan (2 Helai)

Untuk memastikan pakaian tidak basah semasa mengharungi hujan ketika dalam perjalanan. Kenapa 2 helai? Supaya boleh tukar sekiranya salah satu baju masih basah.

(b)  Topi Keledar (Helmet)

Pastikan topi keledar masih dalam keadaan baik (masih ketat) dan disertai dengan penutup bagi melindungi muka daripada tempis hujan dan objek tumpul. Ia penting kerana sepanjang perjalanan, terdapat pelbagai objek terbang ke arah muka saya. Nasib baik hanya kena cermin sahaja. Kalau kena muka boleh cedera dibuatnya.

(c)  Sebotol Minyak Petrol (1.5 Liter)

Untuk kecemasan sahaja. Perlu diisi kembali selepas digunakan. Kita tidak tahu apa yang terjadi ketika dalam perjalanan terutama semasa berada dikawasan yang asing.

(d)  Kotak Simpanan

Tempat menyimpan topi keledar, baju hujan dan beg (semasa hujan).

(e)  Kain Lap (Sehelai)

Biasa digunakan untuk lap tumpahan minyak apabila terlebih isi minyak.

(f)   Sarung Tangan (Sepasang)

Melindungi tapak tangan dari cuaca panas dan semasa kemalangan.

(g)  Kunci Tayar

Sebagai perlindungan tambahan untuk pastikan motosikal dalam keadaan selamat ketika meninggalkannya.

(h)  Pelapik Tangan & Kaki

Melindungi siku dan lutut sekiranya berlaku kemalangan. Tetapi secara jujurnya, saya pun jarang memakainya disebabkan ia leceh untuk dipakai dan ditanggalkan. Yang terbaik beli jaket yang ada pelindung dibahagian lengan.

(i)   Sarung Plastik (Lindungi Telefon Ketika Hujan)

Digunakan untuk melindungi telefon dari hujan terutama semasa mencari jalan.

(j)  Pemegang Telefon (Untuk Mencari Lokasi)

Memudahkan saya melihat jalan yang perlu dilalui dan melindungi telefon semasa
dalam kemalangan.

Berikut adalah senarai kelengkap asas yang saya bawa semasa mengembara:

(a)  Payung @ Baju Hujan (Sekiranya ingin mendaki)

Malang tidak berbau begitu juga dengan cuaca. Oleh itu amatlah penting membawa payung setiap masa. Ia juga penting bagi saya untuk mengambil baju hujan di motosikal ketika hujan (apabila meletak motosikal dikawasan terbuka).

(b)  Dompet

Ia penting supaya perjalanan saya tidak terganggu. Mempunyai duit tunai yang secukupnya amatlah penting kerana bukan semua pembelian boleh dibayar melalui kemudahaan kad kredit @ debit atau melalui transaksi atas talian (electronic).

(c)  Botol Air (0.5 liter)

Adalah amat penting membawa sedikit air disisi sentiasa kerana kita tidak tahu bila memerlukannya.

(d)  Baju ‘Sweater’ @ Jaket

Untuk melindungi kulit dan Badan daripada cuaca panas. Digalakkan untuk membeli jaket yang telah tersedia bersama pelindung siku.

(e)  Powerbank & Kabel USB

Pastikan ‘powerbank’ dan kabel USB sentiasa dibawa bagi memastikan telefon bimbit tidak kehabisan bateri. Saya memilih ‘powerbank’ berkapasiti 20000mAh jenama penang untuk memastikan bekalan elektrik mencukupi sepanjang berjalanan.

Oleh kerana kebanyakkan masa dihabiskan di atas jalan raya. Situasi ini menyebabkan saya terpaksa caj telefon atas motosikal. Oleh itu pemilihan kabel USB yang sesuai (tahan gegaran) penting bagi memastikan telefon dapat dicaj semasa menunggang.

(f)   Telefon Bimbit

Telefon Bimbit (Pintar) adalah benda wajib yang perlu dibawa sepanjang masa. Ia bukan sahaja digunakan untuk tujuan komunikasi bahkan boleh dijadikan sebagai kamera dan perakam video untuk merekod setiap perjalanan yang dilalui. Pastikan bateri telefon di caj penuh sebelum memulakan perjalanan.

Tiada guna memiliki telefon pintar sekiranya ia tidak disertai dengan kemudahan internet. Ia memainkan peranan yang penting terutama sebagai penunjuk jalan semasa mencari jalan yang perlu diikut untuk sampai ke destinasi yang dituju. Ia juga membantu mengemaskini data sebagai sandaran (backup) sekiranya berlaku sesuai yang tidak diingini ke atas telefon bimbit. Sebagai contoh telefon hilang (dicuri), rosak (terjatuh) dan sebagainya.

Tips 3: Kenalpasti Destinasi Yang Ingin Dituju

Ia penting untuk menjimatkan masa perjalanan secara tidak langsung mengurangkan risiko berada di atas jalan raya. Sebahagian besar masa dihabiskan semasa dalam perjalanan.

Selepas semua langkah yang perlu telah diambil, tiba masa untuk memulakan perjalanan.

2.      Semasa Dalam Perjalanan

Tips 1: Mulakan Perjalanan Di Awal Pagi

Memulakan perjalanan pada awal pagi atas faktor keselamatan. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti tayar pancit, anda masih ada masa untuk mencari bengkel motosikal yang terdekat. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada saya untuk melawat banyak tempat dalam satu hari.

Tips 2: Ikut Lorong Paling Kiri (Semasa Di Lebuhraya)

Kebanyakkan masa saya akan ikuti laluan paling tepi di lebuhraya untuk mengurangkan risiko kemalangan terutama apabila kenderaan menukar laluan tanpa memberi isyarat terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya apabila saya berada dilorong paling kiri, hanya perlu mengambil perhatian kepada kenderaan di sebelah kanan.

Berada dilorong tengah menyebabkan saya perlu sentiasa peka terhadap kenderaan yang berada di kiri dan kanan.Saya hanya menukar ke lorong tengah ketika ingin memintas kenderaan lain.

Tips 3: Kenalpasti Lokasi Stesen Minyak & Bengkel Motosikal

Mengetahui dengan jelas dimana lokasi stesen minyak (terutama di lebuhraya) penting supaya kita boleh meramalkan adakah minyak motosikal yang ada dalam tangki mencukupi sebelum tiba di stesen minyak yang lain.
Dalam kes saya, saya hanya mengisi minyak di stesan Petronas sahaja atas sebab ingin mengumpul mata ganjaran. Saya hanya singgah ke stesen minyak yang lain sekiranya tiada pilihan (Stesen minyak Petronas tidak dijumpai).

Bagi kembara solo, mengetahui lokasi bengkel motosikal disepanjang laluan adalah penting bagi menghadapi situasi yang tidak dijangka seperti tayar pancit, rantai putus dan sebagainya.

Diharap agar tips dan panduan yang diberikan memberi manfaat kepada anda. Apa yang penting adalah nikmati setiap perjalanan yang dilalui.

Sila layari artikel dibawah untuk mengetahui cabaran yang terpaksa saya hadapi sepanjang pengembaraan solo ini.
Cabaran Dalam Kembara Solo Serta Penyelesainya