Khamis, 21 Mei 2020

Formula Pengurusan Kewangan Peribadi

Formula Pengurusan Kewangan Peribadi

Entri kali ini saya ingin kongsikan Formula Matematik yang boleh dijadikan sebagai panduan semasa menguruskan kewangan peribadi.

Apa Itu Formula Matematik?
Kaedah menentukan kelayakan atau matlamat seseorang dari segi kewangan yang meliputi pelbagai peringkat seperti simpanan, hutang, pelaburan dan sebagainya mengikut formula yang telah ditetapkan.

Kenapa Formula Ini Penting?
Sebagai panduan dalam menguruskan kewangan secara berhemah bagi memastikan kewangan diri berada dalam keadaan yang sihat (tidak terbeban dengan hutang).


1# Simpanan

Mudah sahaja hendak berjaya menyimpan setiap bulan. Ikut sahaja formula di bawah:

PENDAPATAN - SIMPANAN = PEMBELANJAAN

Contoh:
RM 3,000 (Gaji) - RM 300 (10%) = RM 2,700 (Baki untuk dibelanjakan)

Penjelasan:
PENDAPATAN merujuk pendapatan kasar yang diterima setelah ditolak dengan komitmen bulanan seperti kwsp, sosco dan sebagainya.
SIMPANAN merujuk kepada pengasingan duit yang dilakukan untuk kegunaan masa hadapan.
PEMBELANJAAN merujuk kepada semua jenis pembelanjaan sama ada mengikut keperluan atau kehendak.

Dengan mengamalkan formula ini, anda bukan sahaja berjaya menabung setiap bulan. Ia juga menjadikan anda kreatif dalam berbelanja menggunakan baki duit yang ada.

Hidup di bawah kemampuan, anda pasti berjaya menyimpan secara tetap (istiqamah).


2# Pengurusan Kewangan

Menyediakan belanjawan (bajet) itu penting bagi memastikan pendapatan yang diterima dapat diuruskan dengan baik dan berhemah.

Kelebihan Merancang Bajet
1# Membina tabiat yang baik seperti berdisplin, perancang dan kreatif.
2# Dapat mengetahui secara terperinci setiap aliran masuk dan keluar wang yang ada. Ini akan memudahkan penyiasatan dilakukan sekiranya terdapat masalah semasa menguruskan duit.

Berikut adalah formula menguruskan kewangan peribadi yang boleh diamalkan:

2.1: Formula Kewangan Model Infaq

Sumber: Infaq Consultancy Sdn Bhd

30% Pembelanjaan Isi Rumah
Contoh:
Meliputi keperluan dan kehendak seperti tempat tinggal, makanan, minuman, minyak petrol dan sebagainya

30% Pembayaran Hutang
Contoh:
Segala jenis hutang berjadual atau tidak seperti Rumah, Kereta, Pendidikan dan sebagainya.

30% Lebihan
Contoh:
Simpanan, Pelaburan dan Pelindungan.

10% Pemberiam & Lain-Lain

Contoh:
Segala jenis pemberian wajib atau tidak seperti cukai, zakat, sedekah, wakaf dan sebagainya.

2.2: Formula 30:60:5:5

Sumber: Nur Aliah Mohd Nor 

30% Untung
Contoh:
Simpanan, Pelaburan dan Pelindungan.

60% Terpaksa
Contoh:
Segala jenis hutang berjadual atau tidak dan komitmen seperti Rumah, Kereta, Pendidikan dan sebagainya.

5% Sampah

Contoh:  
Perbelanjaan tidak tetap seperti hiburan, makan dan minum di kedai dan sebagainya.

5% Bocor
Contoh:
Segala jenis pembelian bukan keperluan seperti langgani Astro, Unifi dan sebagainya.

2.2: Formula 50:30:20

Sumber: jomurusduit.com


50% Pembelanjaan Tetap @ Asas
Contoh:
Segala jenis pembelian keperluan seperti tempat tinggal, pengangkutan, pakaian, makanan dan sebagainya.

30% Pembelanjaan Tidak Tetap @ Tidak Penting
Contoh:
Segala jenis pembelian bukan keperluan seperti langgani Astro, Unifi dan sebagainya.

20% Tabungan Masa Hadapan

Contoh:
Simpanan, Pelaburan dan Pelindungan.

Penjelasan:
Peratusan dikira berdasarkan gaji kasar yang diterima secara tetap pada setiap bulan.


3# Dana Kecemasan

Dana Kecemasan merujuk kepada sejumlah wang yang diasingkan khas bagi menghadapi sebarang masalah pada masa hadapan. Masalah yang hanya dapat diselesaikan dengan jumlah wang yang banyak.

Berapa banyak duit perlu diasingkan sebagai Dana Kecemasan? Formulanya seperti di bawah:

3.1: Nilai Minimum Yang Wajib Dimiliki Oleh Setiap Orang

3 x GAJI KASAR = DANA KECEMASAN

Contoh:
3 X RM 3,000 = RM 9,000

3.2: Nilai Minimum Yang Wajib Dimiliki Oleh Pekerja Makan Gaji Sama Ada Di Sektor Kerajaan Ataupun Swasta

6 x GAJI KASAR = DANA KECEMASAN

Contoh:
6 X RM 3,000 = RM 18,000

3.3: Nilai Minimum Yang Wajib Bagi Peniaga Atau Usahawan

12 x GAJI KASAR = DANA KECEMASAN

Contoh:
12 X RM 3,000 = RM 36,000

Penjelasan:
Pastikan setiap duit yang dikeluarkan dari Dana Kecemasan diganti secepat mungkin. Pastikan duit Dana Kecemasan berada diparas mencukupi sepanjang masa.

Entri Berkaitan:


4# Beli Kereta

Kereta antara salah satu barang yang tidak mampu dibeli secara tunai oleh majoriti manusia yang hidup dimuka bumi ini. Oleh itu, salah satu cara untuk memilikinya adalah dengan berhutang dengan institusi kewangan seperti Bank.

Dengan tempoh pinjaman antara 5 sehingga 9 tahun. Kereta antara pembelian yang mengikat kita dengan komitmen bagi tempoh masa yang panjang. Oleh itu, penting bagi kita mengetahui had kelayakkan membeli kereta mengikut kemampuan diri (mengikut pendapatan).

Formulanya seperti berikut:

4.1: Formula Gaji Tahunan

12 x GAJI KASAR = HAD MAKSIMUM KELAYAKAN

Contoh:
12 X RM 3,000 = RM 36,000

4.2: Formula 20:5:15

20% (Deposit): 5 (Tempoh Masa): 15% (Ansuran Bulanan)

Penjelasan:
Deposit yang perlu dibayar adalah sebanyak 20 peratus dari harga kereta. Tempoh masa pembiayaan hendaklah dihadkan selama 5 tahun sahaja. Ansuran bulanan hendaklah tidak lebih dari 15% dari gaji kasar.


5# Beli Rumah

Majoriti daripada kita yang hidup di muka bumi ini tidak mampu membeli rumah secara tunai. Oleh itu, pilihan yang ada hanya dengan membuat pinjaman di institusi kewangan seperti bank.

Tempoh masa membayar kembali pinjaman perumahan boleh mencecah sehingga 35 tahun (bergantung dengan tawaran bank).

Oleh itu, penting bagi kita mengetahui had kelayakkan membeli rumah mengikut kemampuan diri (mengikut pendapatan).

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil bagi menyemak kelayakan maksimum pembiayaan yang boleh diambil oleh kita.

5.1: Tentukan Bayaran Bulanan

Langkah 1: Semak Debt Service Ratio (DSR)

Pendapatan Bersih x 60% = DSR Maksimum

Contoh:
RM 3,000 X 60% = RM 1,800

Langkah 2: Semak Had Pembayaran Bulan

DSR Maksimum - Hutang = Baki Pembayaran Bulanan

Contoh:
RM 1,800 - RM 1,000 = RM 800 (Had Maksimum)

Langkah 3: Semak Had Harga Rumah

Pembayaran bulanan x 200 = Kelayakan Pinjaman

Contoh:
RM 800 X 200 = RM 160,000 (Had Maksimum)

Penjelasan:
Berdasarkan contoh di atas, kita boleh menentukan harga rumah yang mampu dibeli dengan syarat bayaran bulanan tidak melebihi RM 800. Bayaran bulanan ditentukan berdasarkan tempoh masa, kadar bunga (interest) dan wang pendahuluan.

Berdasarkan contoh di atas, Peminjam hanya layak membeli rumah dengan harga maksimum RM 160,000 sahaja.

5.2 Formula 200

Langkah 1: Semak Had Harga Rumah

30% x Gaji Kasar x 200 = Harga Rumah (Maksimum)

Contoh:
30% X RM 3,000 X 200 = RM 180,000

Atau

12x Gaji Kasar x 6.5 = Harga Rumah (Maksimum)

Contoh:
12 X RM 3000 X 6.5 = RM 234,000

Langkah 2: Semak Had Pembayaran Bulan

Harga Rumah / 200 = Ansuran Bulanan 

Contoh:
Harga Rumah = RM 180,000
RM 180,000 / 200 = RM 900

Harga Rumah = RM 234,000
RM 234,000 / 200 = RM 1,170.00 Sebulan

Entri Berkaitan:


6# Perlindungan (Takaful)

Memiliki perlindungan (takaful) penting bagi setiap individu sebagai salah satu kaedah untuk menghadapi hari esok yang tidak pasti. Berikut adalah turutan perindungan yang wajib ada bagi semua orang.

1# Perlindungan Diri (Rider)
2# Nyawa @ Hayat
3# Keliatan Kekal
4# 36 Jenis Penyakit

Persoalannya, berapa jumlah wang pampasan yang secukupnya? Ikut formula seperti di bawah:

Gaji Kasar x 12 Bulan x 10 Tahun = Jumlah Perlindungan @ Pampasan

Contoh:
RM 3,000 X 12 X 10 = RM 360,000

Berapa pula had pembayaran bulanan untuk takaful? Ikut formula seperti di bawah:

Gaji Kasar x 5 / 100 = Bayaran Bulanan (Had Maksimum)

Contoh:
RM 3,000 X 5 / 100 = RM 150

Dengan bahasa mudah, anda perlu mengambil pakej perlindungan yang memberi pampasan sekurang-kurangnya 10 tahun dari gaji kasar semasa dengan pembayaran bulanan tidak melebihi dari 5% dari gaji kasar.

Sekiranya tidak mampu mendapat skim perlindungan yang menepati ciri-ciri tersebut. Anda boleh meningkatkan peratusan pembayaran bulanan supaya pampasan yang diterima cukup untuk menggantikan pendapatan selama 10 tahun.

Formula matematik yang dikongsikan dalam entri ini adalah sebagai panduan asas bagi membantu anda membuat keputusan dengan betul semasa menguruskan kewangan peribadi.

Segala keputusan terletak di tangan anda. Ambil tanggungjawab sepenuhnya atas segala keputusan yang dibuat. Selamat maju jaya.


Youtube Channel:

Tiada ulasan:

Catat Komen