Rabu, 13 Februari 2019

Duit Lebihan: Mana Lebih Utama, Simpan Atau Bayar Hutang?

Duit Lebihan: Mana Lebih Utama, Simpan Atau Bayar Hutang?
Sumber: doubledebtsinglewoman.com

Cuba Bayangkan…


Sekiranya anda memperolehi duit lebihan secara tunai di tangan tidak kira sama ada diperolehi dari hadiah kemenangan, bonus, terjumpa harta karun, mewarisi harta pusaka dan sebagainya. Manakah yang perlu diutamakan, selesaikan hutang secepat mungkin atau simpan duit tesebut? Satu persoalan yang menarik untuk dibincangkan.

Artikel kali ini saya kongsikan pandangan saya terhadap isu tersebut. Sekiranya saya berada dalam situasi tersebut, saya akan bertindak mengikut keadaan semasa.

Sekiranya Saya…

1# Tiada Dana Kecemasan

Seluruh duit tersebut akan disimpan dan dijadikan sebagai Dana Kecemasan. Saya akan pastikan simpanan tersebut diletak di instrumen kewangan yang berisiko rendah tetapi memberi pulangan yang melebihi kadar inflasi seperti Tabung Haji (TH), Amanah Saham Bumiputera atau Emas.

2# Dana Kecemasan Tidak Mencukupi

Sekiranya Dana Kecemasan tidak mencukupi (kurang dari 6 bulan gaji semasa), sebahagian wang tersebut akan disimpan bagi memastikan Dana Kecemasan yang ada mencapai tahap minimum. Bakinya, baru saya akan gunakan untuk membayar hutang. Ini dapat mempercepatkan proses penyelesaian hutang.

3# Dana Kecemasan Mencukupi

Sekiranya Dana Kecemasan yang saya miliki mencukupi, keseluruhan duit lebihan tersebut akan digunakan untuk membayar hutang. Supaya hutang yang ada dapat diselesaikan secepat mungkin. Saya akan menggunakan teknik ‘Snow Ball’ bagi memastikan hutang yang ada dapat diselesaikan secepat mungkin. Selepas hutang selesai, semua duit yang digunakan untuk bayar hutang akan dialihkan pada simpanan. Ini akan membantu meningkatkan simpanan sedia ada dengan kadar segera.

Teknik Snow Ball

Selesaikan hutang yang paling sedikit terlebih dahulu menggunakan duit lebihan yang ada. Selepas hutang tersebut selesai, alihkan duit lebihan tersebut (yang digunakan untuk bayar hutang terdahulu) ke hutang seterusnya. Ulangi langkah berikut sehingga keseluruhan hutang selesai.

Tetapi sekiranya…

3.1# Dividen Diperolehi Lagi Besar Dari Kadar Faedah (Interest)

Saya akan laburkan kesemua duit yang diperolehi sekiranya pulangan yang diberi (dividen) melebihi kadar faedah (interest) yang perlu dibayar setiap bulan. Saya akan teruskan pembayaran balik hutang mengikut jadual seperti biasa. Sekiranya ada hutang yang hampir diselesaikan, barulah saya akan guna keuntungan yang diperolehi untuk selesaikannya.

3.2# Kadar Faedah (Interest) Hutang Lagi Besar Dari Dividen

Saya akan selesaikan hutang dengan lebihan duit yang ada kerana ia tidak berbaloi untuk dilaburkan. Lebih baik beri tumpuan selesaikan hutang terlebih dahulu agar proses menyimpan menjadi lebih lancar dengan syarat semua duit yang digunakan untuk bayar hutang dialihkan terus ke simpanan.

Suatu Dilema

Diharap agar artikel ini memberi manfaat kepada pembaca terutama yang berada dalam dilema memilih antara dua iaitu simpan dulu ke selesaikan hutang.

Adakah anda setuju dengan pendapat yang saya kongsikan? Kongsikan pendapat anda dalam ruang komen dibawah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan