Sabtu, 8 Ogos 2020

Kembara Mencari Jodoh (Pendahuluan)

 

Entri kali ini saya ingin kongsikan perjalanan hidup saya dalam proses mencari jodoh menggunakan portal Tilljannah.my.
 
Kisah ini akan dikongsi secara berperingkat merangkumi:
 
Kembara Mencari Jodoh…

Bahagian 1
Bahagian 2
Bahagian 3
 
Pendahuluan

Pengembaraan ini bermula dari September 2016 dan berakhir pada Januari 2018. Ia terbahagi kepada 3 bahagian keseluruhannya. Setiap bahagian bermula dari tempoh masa pengaktifan akaun premium (selama sebulan) di portal tilljannnah sehingga selesai berjumpa semua calon yang ada secara berhadapan (yang bersetuju untuk berjumpa).

Ini adalah kisah saya…

Semuanya bermula apabila saya ternampak iklan portal mencari jodoh tilljannah.my semasa melayari facebook pada suatu pagi yang indah awal bulan September 2016.

Ini menarik perhatian saya untuk cuba mencari jodoh melalui atas talian selepas kegagalan mencari calon secara terus (diperkenalkan oleh keluarga, saudara atau kawan).

Tentu anda tertanya-tanya kenapa saya memilih portal mencari jodoh ini dan bukan portal yang lain.

Antara kelebihan portal ini adalah:

1# Harga Yang Berpatutan

Pendaftaran adalah percuma. Untuk berkomunikasi dengan calon, anda perlu mengeluarkan duit melanggani pakej premium bagi tempoh masa tertentu (dari sebulan sehingga setahun). Lagi lama tempoh masa aktif, lagi murah bayarannya mengikut bulan.

Dalam kes saya, untuk menjimatkan duit. Saya mengambil pakej paling murah iaitu sekitar RM 20 sebulan. Kebanyakkan portal cari jodoh yang lain mewajibkan anda melanggan pakej paling kurang 3 bulan. Tidak sanggup saya membayar lebih untuk sekali pengaktifan.

2# Tempoh Masa Pengaktifan Yang Pendek

Bagi saya, pengaktifan akaun premium dalam tempoh masa yang lama merugikan walaupun kos per bulan lebih murah. Saya hanya memerlukan tempoh masa sebulan sahaja untuk mencari calon. Ia sudah mencukupi bagi satu sesi.

Kitaran Proses Mencari Jodoh Di Portal Tilljannah

Mengikut carta di atas, didapati tempoh masa untuk melengkapkan satu kitaran adalah sekitar 2 hingga 6 bulan untuki satu sesi. Ini amat merugikan bagi saya sekiranya melanggan bagi tempoh masa yang lama tanpa menggunakan sepenuhnya. Lagipun saya hanya sempat mengaktifkan akaun premium sebanyak 3 kali sahaja sebelum berjumpa dengan jodoh.

Selain itu, disebabkan calon yang ada dalam portal amatlah terhad (sekitar 5 ribu calon wanita yang ada pada ketika itu). Tempoh masa sebulan mencukupi bagi saya untuk menegur semua calon yang diminati. Hanya calon yang melanggani pakej premium sahaja yang boleh saya ajak berbual.

Saya perlu berehat sebentar bagi setiap sesi sebelum memulakan kembali misi cari jodoh dalam portal. Uruskan apa yang ada dulu sebelum mula cari yang baru.

3# Memberi Kebebasan Berkomunikasi Dengan Ramai Calon Dalam Satu Masa

Ada portal mencari jodoh menghadkan jumlah calon yang boleh ditegur (mengikut pembayaran). Ini mengurangkan peluang bertemu jodoh. Secara teorinya, lagi ramai calon yang ditegur. Lagi tinggi peluang bertemu dengan jodoh (sekiranya ditakdir jodoh berada dalam portal ini).

Berbalik kepada kisah saya…

Memiliki biodata yang bagus dapat membantu menarik perhatian calon untuk berkomunikasi dengan kita. Tidak kisah sama ada kita memulakan langkah terlebih dahulu atau pun sebaliknya,

Bagaimana caranya? Mudah sahaja. Letak gambar yang menarik, santai dan anggun. Dalam kes saya, saya letak gambar passport sahaja (gambar yang diambil pada tahun 2009 sebelum ditukar ke versi terkini pada percubaan kali ke 3). Itu sahaja gambar menarik yang ada (ketika mendaftar). 

Bagi bahagian maklumat pula. Pastikan semua maklumat yang diisi itu betul dan tepat. Kejujuran itu amat penting. Hendak cari isterikan, bukan kekasih untuk memenuhi masa lapang.

Dan bahagian yang paling penting sekali adalah diruang khas bagi memperkenalkan diri secara ringkas serta ciri-ciri calon yang dikehendaki. Oleh sebab saya sedar akan diri ini yang tidak seberapa menarik untuk dibanggakan. Impian seperti ingin pasangan bergaji besar, lahir di negeri tertentu dan sebagainya tidak saya letak. Dengan ertikata lain tidak memilih sangatlah.

Saya hanya kongsikan sedikit ciri-ciri yang baik tentang diri serta tidak memilih untuk berkenalan dengan sesiapa pun asalkan sedap mata memandang dan selesa bersamanya. (ciri idaman kenalah tahap biasa sahaja. Baru calon selesa hendak berborak dengan kita).

Dah siap biodata. Maka mulalah sesi Kembara Mencari Jodoh. Bersemangat hendak tegur wanita yang ada dalam portal ini. Ini masanya untuk menjadi seorang kasanova (playboy) segera. Utamakan calon yang ambil pakej premium. Hanya calon ini sahaja yang boleh diajak berbual.

Tetapi sebelum itu, persediaan mental juga perlu dilakukan sebelum merangka sebarang strategik. Tidak terkecuali dalam misi mencari jodoh ini.

Berikut adalah prinsip yang saya amalkan iaitu:

Prinsip 1: Kena Tolak Itu Suatu Yang Pasti. Dapat Itu Bonus.

Berpegang kepada prinsip ini, saya dapat mengelak dari berasa amat kecewa apabila hubungan yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Menipulah kalau tak kecewa bila ditolakkan.

Bagi saya, dapat bertemu dengan si dia itu satu kejayaan. Apa pun keputusan selepas itu tidak begitu penting bagi saya. Orang tidak mahu, tidak perlu paksa. Kita cari yang lain. 

Prinsip 2: Hargai Setiap Detik Bersama Dengan Si Dia

Bukan mudah untuk memancing seseorang untuk berjumpa terutama anak dara orang. Oleh itu, hargailah setiap detik bersama dengan si dia. Peluang datang hanya sekali sahaja seumur hidup, kecuali dia itu memang jodoh kita.

Prinsip 3: Kesanggupan Mengembara Jauh

Kadang-kadang, calon yang ingin ditemui itu duduk jauh dari kita. Oleh itu bersedialah untuk berjalan jauh hanya untuk satu pertemuan yang singkat.

Prinsip 4: Tegur Seramai Yang Boleh Dalam Satu Masa

Ada orang tegur saya kenapa tidak fokus kepada seorang dalam satu masa. Antara sebab saya melakukan demikian adalah bagi menjimatkan masa. Lagipun semakin ramai calon yang ditegur, selagi tinggi peluang untuk bertemu jodohkan. Dipenghujungnya nanti, hanya seorang sahaja calon yang diperlukan. Bukan hendak kahwin sampai empat pun.

Prinsip 5: Tidak Berkira Semasa Berbelanja

Anggap ini sebagai yuran yang perlu dibayar untuk satu kenangan terindah bersama si dia. Sekali seumur hidup sahajakan. Semua ini satu pelaburan.

Prinsip 6: Minda Yang Betul

Ingat, tujuan utama kita adalah untuk mencari jodoh. Apabila ada matlamat jelas, segala tindakan akan menjurus ke matlamat asal.

Strategik/ Pelan Tindakan

Bercerita tentang perancangannya pula, saya boleh bahagikannya kepada 2 peringkat iaitu:

Peringkat 1: Berkomunikasi Secara Maya

Pada peringkat ini, langkah pertama yang saya dilakukan adalah dengan menegur setiap calon yang ada selepas saringan awal dilakukan (berdasarkan rupa dan biodata). Ini bukan bererti saya tidak melayan calon lain yang memulakan bicara terlebih dahulu. Kita layan semua orang yang sudi meluangkan masa berbual dengan saya.

Secara jujurnya, agak sukar untuk mengetahui ada orang balas mesej kita selagi tidak log masuk ke akaun sendiri. Oleh itu, saya mencadangkan kepada calon untuk menukar saluran komunikasi yang lain. Dalam kes saya, saya guna WhatApps. Mudah dan senang.

Selepas tempoh sebulan berakhir, kesemua maklumat komunikasi yang ada dihapuskan supaya saya dapat memulakan sesi baru dari kosong. Keburukkan melakukan pekara ini adalah akan menyebabkan saya tertegur calon yamg sama lebih dari sekali. Pekara ini disedari apabila ada calon maklum bahawa saya telah menegur dia sebelum itu. Ramai sangat tegur, memang tidak ingatlah.

Peringkat 2: Ketika Berkomunikasi Secara Berhadapan

Cabaran sebenar bermula saat ingin mengajak anak dara orang untuk bertemu (buat temujanji). Oleh itu, kita perlu menyediakan umpan yang bersesuai mengikut jenis 'ikan' yang ada.

Apakah umpan yang saya guna? Umpannya adalah...

Umpan 1:
Berlaku jujur sepanjang masa bagi membina kepercayaan dan keyakinan.

Umpan 2:
Yakinkan dia untuk berjumpa dengan kita dengan cara memberi dia kebebasan penuh untuk tentukan dimana lokasi hendak bertemu. Tunjukkan kesanggupan untuk berjumpa dengan si dia tidak kira di mana dia berada dan dengan siapa dia ingin bawa sebagai teman asalkan bukan lelaki asing lain sudahlah. (ahli keluarga tak apa lagi).

Umpan 3:
Maklumkan kepada calon untuk bertemu dahulu walaupun sekali sebelum membuat keputusan (sama ada ingin meneruskan hubungan ini atau pun tidak).

Bagi menilai kemajuan dalam kembara jodoh ini. Saya pecahkan ke 4 fasa iaitu:

Fasa 1: Berkenalan Dengan Calon
Fasa 2: Berjumpa Dengan Calon
Fasa 3: Berjumpa Dengan Keluarga Calon
Fasa 4: Bertunang


Kita tengok sejauh mana saya mampu pergi…

Selepas semua persediaan selesai dilakukan. Maka bermulalah perjalanan epik mencari pasangan hidup.

"Let The Journey Begin"

Untuk makluman anda, setiap Percubaan terbahagi kepada 2 peringkat iaitu:

Peringkat 1: Berkenalan Secara Maya

Di peringkat ini, tempoh masa mencari calon berlangsung selama sebulan. Matlamat utama pada peringkat ini adalah untuk membuat temujanji secara rasmi dan berjumpa dilokasi yang dipersetujui.

Sekiranya tiada calon, maka bermulalah Percubaan Ke 2, Peringkat 1 dan seterusnya.

Peringkat 2: Berkenalan Secara Berhadapan

Di peringkat ini, tempoh masa bergantung kepada berapa ramai calon yang sudi untuk berjumpa dengan saya.

Panjang sangat pula tulisan kali ini. Saya berhenti disini dahulu ia. Akan bersambung pada entri yang lain. Sila tekan pautan di bawah untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Entri Seterusnya:
Kembara Pencari Jodoh (Bahagian 1)

Tiada ulasan:

Catat Komen